YB. Dato' Salamon Selamat, Ketua UMNO Bahagian Shah Alam
SHAH ALAM 2 Mac – UMNO Bahagian Shah Alam akan menganjurkan Konvensyen Penerangan Barisan Nasional sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-12.
Konvensyen pada 10 Mac ini bertempat di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, bakal disertai 700 orang ahli parti komponen Barisan Nasional (BN).
Konvensyen yang bertujuan mengenal pasti kekuatan jentera parti,mendedahkan cabaran-cabaran yang bakal mempengaruhi pilihanraya selain membongkar pemikiran dan persepsi pengundi khususnya pengundi atas pagar.
Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Salamon Selamat berkata, konvensyen yang bertemakan `Pilihan raya Umum Ke-12: Mendepani Cabaran, Mencipta Kegemilangan’ itu turut melibatkan pembentangan kertas kerja oleh Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib serta Prof. K. Ramanathan (USM) dan Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin (UKM).
Katanya, bila berhadapan dengan pilihanraya kita bekerja atas nama Barisan Nasional. Oleh itu sudah sampai masanya kita mencari satu pendekatan bersama dalam menangani berbagai isu ketika pilihanraya.
“Konvensyen BN Shah Alam ini akan mengenalpasti berbagai isu bersama agar bila kita berdepan dengan pengundi setiap anggota BN akan memberi penjelasan dengan nada dan suara yang sama.
“Ianya juga diharap akan dapat memberi peluang kepada ahli-ahli parti komponen BN khususnya di Bahagian Shah Alam untuk berkongsi maklumat serta pendapat bagi mencapai matlamat tersebut" katanya yang juga ADUN Batu Tiga.
Katanya lagi, konvensyen ini akan disusuli dengan satu resolusi yang akan menjadi asas kepada tindakan serta gerak kerja jentera BN Shah Alam dalam pilihan raya nanti.
|